header

Sejarah

 

Kesenian gamelan Melayu dipercayai tiba di Tanah Melayu dari istana Kesultanan Johor-Riau-Lingga sejak awal kurun ke-19 lagi. Dikatakan bahawa sekumpulan penari dan pemuzik bersama instrumen muzik gamelan telah dibawa dari istana Penyengat dalam kepulauan Lingga pada 1811 bagi menyerikan perkahwinan Wan Esah, adinda kepada pemerintah Pahang, Bendahara Tun Ali (1806–1857) dengan Tengku Hussain, putera sulung kepada Raja Johor–Riau–Lingga–Pahang, Sultan Mahmud Syah III (1761–1812) (Sheppard, 1983). Kesenian tersebut kemudian berkembang di istana Pahang dan dikenali sebagai “Joget Pahang” (Mohd Mokhtar bin Abu Bakar, 1982); malah turut disaksikan oleh Frank Swettenham, seorang pegawai British, sewaktu menjadi tetamu istana Sultan Ahmad al-Muadzam Shah (1882–1914) di Pekan, Pahang pada tahun 1875, seperti yang diceritakan dalam penulisannya berjudul “A Malay Nautch” (Swettenham, 1878).

 

Pengaruh kesenian ini berkembang pula ke Terengganu apabila Joget Pahang dipersembahkan di majlis perkahwinan Tengku Long, puteri Sultan Ahmad dengan Sultan Zainal Abidin III (1881–1918) dari Terengganu pada 1885. Walaupun perkahwinan diraja ini tidak bertahan lama, Sultan Zainal Abidin III yang telah tertarik kepada seni gamelan meneruskan kesenian ini di istana Terengganu dengan meminjam instrumen dan pemuzik dari Lingga bagi acara-acara istimewa di istana Terengganu (Harun Mat Piah & Siti Zainon Ismail, 1986). Walau bagaimanapun, kejatuhan kesultanan Riau–Lingga setelah Sultan Abdul Rahman Muazzam Shah II (1885–1911) diturunkan takhta oleh pihak Belanda telah membawa kepada lenyapnya kesenian gamelan di Lingga.

 

Seterusnya, perkahwinan Tengku Sulaiman, putera Sultan Zainal Abidin III dengan seorang lagi puteri Sultan Ahmad, Tengku Mariam pada 1913 bukan saja memulihkan hubungan dingin kerajaan Pahang dengan Terengganu, malah telah menyumbang kepada kesinambungan gamelan Melayu di Terengganu. Tengku Mariam telah meminjam peralatan gamelan serta membawa para pemuzik dan penari dari Pahang untuk membuat persembahan di istana Terengganu; di samping melatih anak-anak tempatan yang terpilih untuk mempelajari kesenian ini. Selepas kemangkatan Sultan Ahmad pada 1914, tiada pewaris takhta yang berminat memelihara tradisi Joget Pahang. Hanya puteri baginda, Tengku Mariam yang sememangnya terlatih dalam seni Joget Pahang meneruskan kesenian tersebut di Terengganu, dengan sokongan Tengku Sulaiman yang juga menunjukkan minat terhadap muzik gamelan.

 

Pada 1920, Tengku Sulaiman menaiki takhta kerajaan Terengganu dengan gelaran Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah manakala Tengku Mariam diangkat sebagai permaisuri Terengganu dengan gelaran Tengku Ampuan Mariam. Kesenian gamelan Melayu terus subur di Terengganu sehingga dikenali pula sebagai “Joget Terengganu”. Beberapa tahun kemudian, Sultan Sulaiman bersama Tengku Ampuan Mariam kemudian berjaya mendapatkan peralatan muzik gamelan sendiri dan persembahan gamelan sering diadakan di Istana Maziah, Kuala Terengganu (Sheppard, 1969). Terdapat sumber yang menceritakan bahawa Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah boleh bermain alat muzik gamelan dengan baik, sementara permaisuri Tengku Ampuan Mariam telah menghasilkan manuskrip yang mengandungi huraian dan lakaran tarian gamelan; yang kini menjadi rujukan sejarah dan tradisi gamelan Melayu. Walau bagaimanapun, gamelan Terengganu mengalami zaman kelam apabila Perang Dunia II menular ke Tanah Melayu pada 1941, diikuti dengan kemangkatan penaungnya, Sultan Sulaiman Badrul Alam Shah pada 1942. Sejak itu, set gamelan baginda tersimpan sepi di Istana Kolam, yang menjadi kediaman Tengku Ampuan Mariam.

 

Pada 1966, Mubin Sheppard, seorang pengkaji seni bina Melayu, menjumpai set gamelan tersebut sewaktu melawat Istana Kolam, lantas memohon izin Tengku Ampuan Mariam untuk menghidupkan semula gamelan Terengganu (Sheppard, 1979). Setelah diperkenankan, kesemua bekas pemuzik gamelan yang ketika itu tidak lagi berkhidmat dengan istana dikumpulkan untuk berlatih semula di samping dua orang bekas penari yang masih menjadi pekerja istana. Para pemuzik dan penari istana ini membuat kemunculan semula setelah lama menyepi dalam satu persembahan khas di Istana Kolam pada tahun 1967; yang turut dirakamkan oleh Jabatan Radio Malaysia. Susulan persembahan ini, Puan Adnan binti Abdullah (Mak Nang) yang merupakan bekas penari istana ditugaskan melatih penari baru serta menari bersama, sementara pemuzik istana, Encik Muhammad bin Ismail (Pak Mat) melatih muzik. Kumpulan pemuzik gamelan ini yang dikenali sebagai Orkes Gamelan Diraja Terengganu telah membuat kemunculan kali pertama di khalayak umum di Pesta Muzik dan Drama Asia Tenggara yang berlangsung di Universiti Malaya, Kuala Lumpur pada tahun 1969. Kumpulan ini sekali lagi diberi penghormatan membuat persembahan di Universiti Malaya pada tahun berikutnya iaitu di Temasya Seni Melayu (1970) dengan turut menampilkan penari generasi baru. Sejak itu, kesenian ini berkembang di luar lingkungan istana dan diajarkan di institusi pendidikan di serata Malaysia sehingga dikenali sebagai “Gamelan Melayu”.

 

Pada 1973, set gamelan di Istana Kolam telah diserahkan kepada kerajaan Pahang dan kini dipamerkan di Muzium Sultan Abu Bakar di Pekan, Pahang. Set gamelan inilah yang menjadi rujukan bagi instrumentasi asas gamelan Melayu iaitu keromong, gambang, saron kecil, saron besar, gendang, gong kecil dan gong besar, serta 3 biji kenong.

 

Gamelan diangkat sebagai Warisan Kebangsaan apabila tersenarai dalam Daftar Warisan Kebangsaan 2009 yang menjadikan kesenian warisan ini tertakluk kepada Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) yang diwartakan pada 31 Disember 2005 di bawah undang-undang Malaysia.

Rujukan

 

Akta Warisan Kebangsaan 2005 (Akta 645) (Malaysia).

Harun Mat Piah, & Siti Zainon Ismail. (1986). Lambang Sari: Tari Gamelan Terengganu (p. 16).
Pejabat Kebudayaan Melayu, Universiti Kebangsaan Malaysia.

 

Mohd Mokhtar bin Abu Bakar. (1982). 1. Joget Pahang: Satu usaha menghidupkannya kembali. Pahang Dalam Sejarah, 1, 29–30.

Shepppard, M. (1969). Joget-Gamalan of Trengganu. The Straits Times Annual  for 1969, 82.

Sheppard, M. (1979). Taman Budiman: Memoirs of an Unorthodox Civil Servant (pp. 251–252). Heinemann Educational Books (Asia).

Sheppard, M. (1983). Taman Saujana: Dance, Drama, Music and Magic in Malaya, Long and Not-so-long Ago (pp. 1–2). International Book Service.

Swettenham, F. A. (1878, Disember). A Malay Nautch. Journal of the Straits Branch of the Royal Asiatic Society, 2, 163–167.